Friday, September 11, 2009

ILMU MATEMATIK

KUALITI GURU MATEMATIK
Keupayaan seseorang guru adalah berbeza di antara satu sama lain. Anugerah yang Tuhan berikan kepada setiap hambanya tidak sama. Seseorang itu mempunyai kelebihan yang tersendiri dan tertentu sementara orang lain juga memiliki kelebihan yang tertentu.

Banyak pengarang telah mengupas tentang ciri-ciri guru yang cemerlang, guru inovatif, guru pakar, guru contoh malah sehingga kepada Tokoh Guru. Antara ciri-ciri yang sepatutnya ada kepada guru-guru Matematik adalah seperti berikut:

1. Rajin.
Tidak ada asas yang paling utama sesuatu kejayaan itu melainkan bermula dengan rajin. Rajin ini mencakupi berbagai keadaan dan tempat. Rajin ini sendiri terbahagi kepada dua peringkat yang utama iaitu ‘sangat rajin’ dan ‘rajin’.

Guru yang sangat rajin akan merasa rimas bila tidak melakukan sesuatu untuk muridnya. Dia akan sentiasa melapangkan masa dan berusaha untuk melakukan sesuatu demi kepentingan muridnya. Rajinnya tidak kira batas masa dan tempat. Rajinnya mengatasi rajin untuk diri sendiri.

Antara kerajinan yang sering dipaparkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

1.1 Membuat persediaan sebelum mengajar (Rekod mengajar).
1.2 Bukan sahaja membuat tetapi memperbanyakkan bahan bantu.
1.3 Belum lagi guru lain keluar, dia sudah ada di muka pintu.
1.4 Sepanjang masa di dalam kelas dimanfaat semaksimanya.
1.5 Dia mengajar dan menunjuk ajar.
1.6 Mendamping murid terutama yang ada kelemahan.
1.7 Menunjuk cara sehingga lebih dari sepuluh kali ulang.
1.8 Memeriksa buku kerja murid dengan teliti, cekap dan terpelihara.
1.9 Memanggil murid secara personal dan profesional sekiranya perhatian tertentu perlu diberikan kepada murid tersebut.
1.10 Berkeinginan seolah-olah didesak dari dalam.
1.11 Berasa seronok dan puas selepas maksud ‘mengajar’nya tercapai dan sebaliknya.
1.12 Merasai bahawa ‘berjaya’ setelah muridnya berjaya.
1.13 Tiada masa untuk duduk di kerusi guru, melainkan berlegar bersama murid untuk mencari di mana lagi kesilapan yang dilakukan untuk diperbetulkan dengan semerta.
1.14 Percakapannya dengan rakan hanya berkisar kepada pelajaran.
1.15 Kerajinannya sehingga orang lain tidak berani mengatakan bahawa dia pemalas.
1.16 Datang awal dan balik lewat.
2. Kreatif Dan Inovatif.
Setiap individu ada kelebihan tersendiri. Guru yang kreatif dan inovatif akan sentiasa memotivasikan dirinya untuk membuat benda-benda yang positif. Setiap perlakuannya akan menyenangkan diri, rakan dan lebih-lebih lagi kepada muridnya.

Selalunya orang menggelarkan guru ini sebagai ‘guru yang tidak pandai duduk diam’. Ada-ada sahaja kerja yang dibuat. Kalau orang tidak buat, dia akan buat. Dia suka buat yang orang lain tidak buat. Hasil kerjanya adalah menakjubkan. Dia tidak banyak menyusahkan orang malah dia lebih suka membantu menyelesaikan kerja orang.

Sebenarnya tidak ramai guru yang demikian. Kalau kita sedar bahawa ianya tidak ramai maka tanggungjawab kita yang pertama ialah meletakkan diri kita dalam kumpulan itu agar menjadi lebih ramai. Bagaimana kalau sekiranya kita sebagai salah seorang yang mula-mula bergerak ke arah itu.

Antara ciri-ciri yang sering dipaparkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

2.1 Tidak luntur ideanya.
2.2 Cakapnya bermotivasi.
2.3 Kesukaran menjadi aspirasi.
2.4 Bersedia mengambil risiko sebagai cabaran. Contohnya mengajar di kelas tidak pandai lebih disukai berbanding mengajar di kelas pandai.
2.5 Mencipta lain dari yang lain.
2.6 Sentiasa memperbaiki kelemahan diri.
2.7 Memanfaatkan peluang dan ruang yang ada.


3. Mesra.
Guru yang berkualiti akan sentiasa mesra dan ceria. Raut wajahnya menyenangkan orang yang melihatnya. Suaranya lunak dan menyenangkan orang yang mendengarnya. Perlakuannya jauh dari menyombong diri dan berbangga. Senyumnya melebar, mudah mesra tanpa memilih status orang yang ada di depannya.

Kemesraannya mudah diterima. Walaupun kita baru sahaja bergaul dengannya, seolah-olah kita mengenali dia bertahun-tahun lamanya. Itulah dia seorang guru mempunyai gaya dan kualiti berwibawa. Dia peramah, senang didekati dan sanggup berkongsi kegembiraan dan kedukaan bersama.

Buah fikirannya yang diberikan selalunya membayangkan kebajikan, keharmonian dan kesejahteraan. Ideanya mudah dan jelas. Senang diterima dan sukar dibahas.

Antara ciri-ciri yang sering dipaparkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

3.1 Mempunyai ramai kawan.
3.2 Tidak ada musuh yang melawan.
3.3 Murid senang menemuinya.
3.4 Layanan kepada murid sangat istimewa.
3.5 Bersifat pemurah dan suka membantu orang.
3.6 Sentiasa tenang dalam setiap tindak tanduknya.


4. Bersungguh-sungguh.
Kerja buat yang dizahirkan oleh guru yang berkualiti adalah begitu bersungguh-sungguh. Komitmen yang diberikan tidak berbelah bagi. Dia akan bersungguh dalam segala kerja yang diberikan. Dia juga bersungguh dalam setiap kerja sendiri yang dilakukan.

Kerjanya cepat disiapkan, kemas dan berkualiti. Mutu kerjanya sangat memuaskan.

Antara ciri-ciri yang sering ditunjukkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

4.1 Berhati-hati dan cermat.
4.2 Kerja tidak bertangguh dan membuatnya hingga selesai.
4.3 Mempertingkatkan kualiti diri.
4.4 Bersemangat yakin diri dan yakin boleh. “Kalau orang lain boleh, kenapa kita tidak boleh”.
4.5 Cuba menandingi atau mengatasi prestasi baik orang lain.
4.6 Selagi belum berjaya, selagi itulah dia berusaha.
4.7 Kerja-kerjanya cepat membuahkan hasil.
4.8 Jarang merungut atau mengeluh dan jauh sekali bersifat dengki.


5. Suara.
Guru yang berkualiti mempunyai suara yang pandai disesuaikan mengikut tempat dan keadaan. Selalunya dia bersuara jelas dan senang difahami. Setiap suara yang dikeluarkan mempunyai natijah yang baik. Ada hikmah dan pendorong. Suaranya menyenangkan dan menakjubkan.

Semasa mengajar, guru ini selalunya menggunakan nada suara yang boleh didengar dengan jelas oleh semua murid di dalam kelasnya. Kadang-kadang dia menggunakan suara tanpa bunyi. Dari gerak bibir memberi erti yang jelas kepada pelajarnya. Malah dia mengulang perlakuan itu beberapa kali untuk menerbitkan ironi yang sentimental.

Selalunya guru berkualiti tidak menggunakan suaranya untuk menyakiti rakan dan muridnya. Suaranya tenang dan menenangkan. Suaranya lunak dengan susunan kata yang terpilih.

Luahan idea menerusi suaranya penuh pengajaran. Bila sekali murid dengar, seolah-olah diterima dengan senang. Suaranya tidak terlalu kasar, meninggi atau terlalu perlahan. Suaranya berbunga bahasa, dan dapat menjadi pendorong yang menyelematkan.

Suaranya akan terpapar dalam kondisi berikut:

5.1 Pendengar jadi bermotivasi.
5.2 Orang mudah faham dan terasa mahu mengikut.
5.3 Orang ketawa, orang terdiam dan orang menitiskan air mata.
5.4 Kata-katanya bersemangat dan meyakinkan.
5.5 Menjadi ikutan orang.
5.6 Suasana bising menjadi hening dan hening menjadi gamat.
5.7 Diselitkan dengan kata-kata yang tepat, jitu, melucukan lagi mengesankan.
5.8 Pendengar akan asyik dan tidak akan tertidur.



6. Gaya Mengajar.
Guru yang berkualiti mempunyai gaya mengajar yang sangat istimewa. Gayanya tersendiri dan tidak bersahaja.

Dia mengajar dengan suaranya. Dia mengajar dengan jari-jemarinya. Dia mengajar dengan mata, dia mengajar dengan perut, tangan, kaki dan dia mengajar dengan seluruh anggotanya.

Adalah berbeza guru yang mengajar sambil duduk dengan guru yang mengajar sambil berdiri. Adalah berbeza guru yang mengajar sambil duduk di kerusinya dengan guru yang duduk di atas meja muridnya. Guru yang bersuara perlahan dengan guru yang bersuara kasar. Guru yang rajin dengan guru yang malas dan sebagainya.

Gaya mengajarnya menjadi tempat terimaan ilmu kepada pelajar. Sepatutnya dia mengajar dan murid menikmati pengajarannya. Murid dapat sesuatu dari pengajarannya. Murid faham apa yang diajar dan seterusnya murid dapat mengaplikasikan setiap hasil pengajarannya.

Gaya mengajar guru yang berkualiti adalah berbagai dan sering dipelbagaikan. Masuknya ke kelas menggembirakan murid dan keluarnya dari kelas juga menggembirakan hati murid. Masuknya ke kelas membawa rahmat dan keluarnya dari kelas meninggalkan kerahmatan. Murid masih lagi menyebut-nyebut tentang keistimewaan mengajar guru itu dan tidak sabar-sabar menunggunya lagi di hari esok atau di minggu hadapan.

Amat malang sekali bagi guru yang tidak memiliki keistimewaan sebagai guru berkualiti. Masuknya membosankan dan keluarnya menyeronokkan. Masuknya tidak mampu menyampaikan apa-apa mesej kepada pelajar namun lagi cepat dia keluar lagi murid berasa suka. Tambah menyedihkan lagi bila murid menggelarkan kita dengan berbagai gelaran. “Cikgu mulut murai dah masuk”. “Cikgu anak harimau dah masuk”. Cikgu bercakap seorang diri dah masuk”. “Cikgu yang hanya pandai menyuruh buat kerja tapi tak ajar dahulu dah masuk” dan macam-macam lagi.

Ciri-ciri guru yang mempunyai kualiti gaya mengajarnya ialah:

6.1 Tahu di mana tahap muridnya berada.
6.2 Tahu siapakah muridnya yang sebenar.
6.3 Mengajar sambil berdiri.
6.4 Mempelbagaikan kaedah.
6.5 ‘Hidup’ lagi menyeronokkan.
6.6 Terhibur dalam mengajar dan belajar.
6.7 Menggunakan segala yang ada untuk mengeksploitasikan pengajaran.
6.8 Dua hala.
6.9 Penyampaian yang berkesan.
6.10 Menekankan disiplin belajar.
6.11 Menyelitkan motivasi.
6.12 Mudah ubah.



7. Tegas.
Guru yang berkualiti selalunya tegas dalam setiap tindak tanduknya. Dalam menjalankan tugasnya ada ketegasan. Semasa mengajar ada ketegasan. Mengawasi disiplin murid juga memerlukan ketegasannya. Pendek kata, ketegasan menjadi faktor pendorong kepada guru itu sendiri sama ada ianya guru berkualiti atau sebaliknya.

“Boleh”, “Tidak”, “Jangan”, “Mesti buat begini” merupakan kata-kata yang sering keluar dari bibir guru yang berkualiti. Tegasnya bukan bermaksud menyekat atau menyiksa. Ketegasan sekadar suatu usaha untuk mendewasakan pelajar yang terpaksa menjejaki liku-liku pembelajaran dan kehidupan masa depan.

Selalunya guru yang tegas akan dihormati murid. Keseriusannya menjadi penentu kepada jatuh bangun mereka. Dia juga berhemat dan mempunyai pertimbangan. Murid yang berdisiplin akan berjaya dan murid yang langgar disiplin akan kecundang sebelum menikmati apa-apa kejayaan.
Bila guru bertegas, maknanya jangan ada lagi kelonggaran itu dan ini. Jangan pula hanya bertegas kepada murid itu tetapi tidak bertegas kepada murid ini. Jangan pula bertegas kepada lelaki tetapi tidak kepada yang perempuan atau sebagainya.

Ciri-ciri guru yang mempunyai ketegasan ialah:

7.1 Suaranya agak kasar.
7.2 Tindak tanduknya cepat.
7.3 Matanya agak membulat.
7.4 Berdisiplin tinggi.
7.5 Ada semangat kepimpinan.
7.6 Susuk badan yang tegap.
7.7 Bermotivasi.
7.8 Berpandangan jauh.
7.9 Berfikiran terbuka.
7.10 Bertimbang rasa.
7.11 Kuat semangat.
7.12 Penyayang.


8. Teknik Mengajar.
Teknik mengajar merupakan suatu yang sangat mustahak dalam sesuatu pengajaran. Hidup atau matinya sebuah episod pengajaran itu terletak kepada teknik pengajaran. Ianya akan lebih bermakna jika pengajaran guru penuh dengan teknik-teknik yang sesuai.

Untuk menjadi seorang guru Matematik yang baik memang memerlukan beberapa kriteria yang unggul selain daripada asas-asas yang perlu ada kepada seseorang guru itu sendiri. Keberkesanan pengajarannya adalah bergantung kepada beberapa teknik yang digunakan semasa penyampaian isi pelajaran.

Antara bentuk pengajaran yang boleh dilaksanakan dalam pengajaran Matematik adalah sebagaimana berikut:

1. Pengajaran secara kelas.
2. Pengajaran secara kumpulan.
3. Pengajaran secara individu.

Bentuk-bentuk pengajaran ini boleh dipraktikkan mengikut kesesuaian semasa. Ia juga boleh digabungjalinkan antara satu sama lain. Peringkat awal, pengajaran secara kelas. Selepas itu pengajaran secara kumpulan dan berakhir dengan pengajaran secara individu. Semuanya menagih kesungguhan guru bagi mengendalikannya dalam suatu masa.

Antara teknik-teknik berkesan yang boleh digunakan:

a) Teknik bercerita.
Teknik ini selalunya diajar kepada pelajar yang sederhana atau pelajar lemah dan ia pasti akan mudah menakkul isi pelajaran yang disampaikan. Contohnya 20 orang askar yang pergi berperang. 5 orang gugur dalam pertempuran. Bilangan askar yang masih hidup ialah 15 orang.

b) Teknik cuba jaya.
Teknik ini adalah lebih sesuai kepada pelajar yang sudah ada asas Matematik. Sedikit bimbingan guru akan menyebabkan mereka mudah meneroka soalan dan mencari jawapannya.

c) Penerangan oleh guru.
Teknik ini selalunya diberi di awal sesuatu pelajaran atau topik yang hendak diperkenalkan. Penjelasan mestilah cukup, sempurna dan pelbagai. Cukup; ertinya dimasukkan dengan berbagai contoh. Sempurna; ertinya langkah-langkah pengiraan secara teratur dan jitu. Manakala pelbagai; ertinya pelbagai cara penyelesaian diperkenalkan agar murid dapat mengambil jalan pengiraan yang paling serasi dengannya.

d) Rakan sebaya.
Teknik ini dilaksanakan kepada murid-murid yang jurangnya sangat ketara. Murid yang pandai sekali-sekala digunakan bagi membantu guru dalam menyelesaikan beberapa perkara yang agak sukar dijelaskan kepada murid lemah secara serentak dan menyeluruh dalam suatu jangka masa yang singkat.

e) Simulasi.
Cara ini selalunya dilakukan bagi memantapkan sesuatu kefahaman murid. Contohnya semasa mengajar tajuk ukuran panjang, timbangan berat, masa, peratus, purata dan sebagainya. Proses-proses simulasi ini akan memberi kefahaman yang mendalam dan lebih kekal jika dibandingan dengan teknik-teknik lain. Proses simulasi ini juga akan memberi lebih ruang kepada pelajar untuk mengalami sendiri langkah-langkah pengiraan dan seterusnya menerbitkan jawapan.

f) Latih tubi.
Teknik ini selalunya dilakukan untuk murid-murid yang sangat lemah dan masih berada di paras kenal fakta asas. Ulang-ulang ini sangat penting bagi memantapkan kefahaman mereka. Semasa teknik ini berjalan, pengawasan guru adalah tersangat penting kerana kesedaran dan kefahaman mereka tidak akan sampai ke mana jika mereka gagal memahami sesuatu konsep itu.

g) Hafalan.
Teknik ini hanya berlaku dalam beberapa situasi tertentu sahaja. Umpamanya semasa menghafal sifir dan formula. Teknik ini juga sesuai diterapkan kepada murid-murid yang berlaku difisit pembelajaran. Mungkin dengan cara ini akan menjadikan mereka lebih mantap dan mampu menguasai pelajaran berikutnya.

h) Ansur maju.
Kaedah ini dilaksanakan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai tahap penguasaan yang sederhana. Selain daripada bimbingan biasa, mereka juga perlu diansur majukan pada setiap ketika agar aras kefahaman mereka akan dapat dipertingkatkan. Kaedah ini sangat sesuai untuk murid sederhana dan murid yang berada di bawah paras sederhana.

i) Menyalin / meniru.
Pelajar-pelajar lemah sesuai dilaksanakan dengan kaedah ini khasnya pada peringkat awal sesuatu topik mula diperkenalkan. Menerusi cara ini akan memberi ruang kepada mereka untuk meneroka proses pengiraan dan seterusya mereka akan dapat 'berjalan sendiri'.

j) Bersoal jawab.
Teknik ini sesuai dilakukan di awal atau di akhir pelajaran. Menyoal di awal pelajaran adalah untuk mengetahui maklumat sedia ada pada murid-murid. Menyoal di akhir pelajaran pula ialah untuk mengetahui sejauh mana mereka faham dengan pelajaran yang diajar pada kali ini.

k) Tunjuk cara.
Kaedah ini hanya dilakukan kepada pelajar-pelajar yang masih belum memahami proses pengiraan terhadap sesuatu soalan itu. Mungkin murid-murid tidak faham soalan atau mungkin juga mereka tidak mengetahui cara menyelesaikan masalah tersebut. Tunjuk cara di sini bermaksud menerangkan langkah-langkah pengiraan. Ianya sangat penting kerana mereka akan menjadi faham setelah mengalami proses tunjuk cara tersebut.

Selain daripada kepelbagaian teknik yang dinyatakan di atas, seseorang guru Matematik akan menjadi lebih diminati jika sekiranya beliau mempunyai beberapa ciri lain. Antaranya ialah:


1. Mempunyai perawakan yang menarik.
2. Pakaian yang kemas.
3. Memiliki 'body language'.
4. Ada gaya dan daya.
5. Kaya dengan ilmu Matematik.
6. Pintar cerdas.
7. Sabar dan penyayang.
8. Pandai mengklasifikasikan murid dan pandai mengubahsuaikan teknik pengajaran kepada pelbagai murid tadi.

9. Ilmu Yang Cukup.
Islam mengajar kita agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China. Oleh itu, kita dituntut belajar dan terus mencari ilmu. Seseorang guru itu masih belum berilmu jika dia merasakan bahawa dirinya telah berilmu.

Dalam konteks ini, guru seharusnya memiliki ilmu yang cukup bagi mengajar murid-muridnya. Jangan nanti dikatakan bahawa murid lebih pandai daripada guru. Tambahan pula sekarang ini kita telah terjun dalam dunia IT, dunia tanpa sempadan dan alam globalisasi. Zaman internet dan sebagainya. Kebanyakan pelajar lebih cepat meneroka berbanding dengan guru. Oleh itu, guru perlu memperlengkapkan diri dalam semua bidang tertama sekali bidang mata pelajaran yang hendak diajarnya kepada murid-murid.


10. Mudah Ubah.
Guru Matematik yang berkualiti mempunyai ciri-ciri mudah ubah. Dia pandai mengatur dan menukar strategi. Kalau ujud suasana begini, maka begini pula cara pengajarannya. Bila berdepan dengan murid lemah, begini cara ajarnya. Bila berdepan dengan murid pandai, lain pula cara ajarannya.


11. Bermotivasi.
Dikatakan bahawa penampilan guru yang bermotivasi bilamana kita melihat wajahnya, kita akan mencapai ketenangan. Sejuk mata memandang. Bila mendengar tutur katanya, kita akan berasa yakin. Murid yakin dan semua orang akan yakin dengan kata-katanya. Dia tidak berbohong dan melampau.

Perlakuan guru bermotivasi boleh diteladani. Dia menjadi sumber aspirasi. Dia penunjuk jalan. Dialah pula tempat luahan permasalahan. Guru bermotivasi mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah. Kalah dalam berjuang merupakan adat. Kalah sebelum berjuang adalah biadab.

Guru bermotivasi mempunyai semangat juang yang sangat tinggi. Dia tidak mudah mengeluh atau menggeleng kepala. Dia tidak mudah menitiskan air mata walaupun kedukaan datang menimpa.

Satu lagi sifat yang ada pada guru bermotivasi ialah berjiwa pemimpin. Dia tahu membawa diri dan mengajar serta mengajak orang lain menyertainya. Dia akan merasa resah bila melihat orang lain terus mundur atau tidak mahu melangkah ke depan bersamanya. Selain dari itu, guru bermotivasi adalah orang yang boleh dipercayai. Dia tabah dan gagah. Dialah pembela dan dialah orang yang boleh dipertanggungjawabkan. Guru seperti ini sangat kuat berpegang kepada falsafah “Kalau menjadi guru, jadilah guru yang lebih baik daripada guru-guru lain”.

Hakcipta@Mat Latif Ali(Guru Pakar Matematik Daerah Besut)

No comments:

Post a Comment