Friday, September 11, 2009

ILMU MATEMATIK

KUALITI GURU MATEMATIK
Keupayaan seseorang guru adalah berbeza di antara satu sama lain. Anugerah yang Tuhan berikan kepada setiap hambanya tidak sama. Seseorang itu mempunyai kelebihan yang tersendiri dan tertentu sementara orang lain juga memiliki kelebihan yang tertentu.

Banyak pengarang telah mengupas tentang ciri-ciri guru yang cemerlang, guru inovatif, guru pakar, guru contoh malah sehingga kepada Tokoh Guru. Antara ciri-ciri yang sepatutnya ada kepada guru-guru Matematik adalah seperti berikut:

1. Rajin.
Tidak ada asas yang paling utama sesuatu kejayaan itu melainkan bermula dengan rajin. Rajin ini mencakupi berbagai keadaan dan tempat. Rajin ini sendiri terbahagi kepada dua peringkat yang utama iaitu ‘sangat rajin’ dan ‘rajin’.

Guru yang sangat rajin akan merasa rimas bila tidak melakukan sesuatu untuk muridnya. Dia akan sentiasa melapangkan masa dan berusaha untuk melakukan sesuatu demi kepentingan muridnya. Rajinnya tidak kira batas masa dan tempat. Rajinnya mengatasi rajin untuk diri sendiri.

Antara kerajinan yang sering dipaparkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

1.1 Membuat persediaan sebelum mengajar (Rekod mengajar).
1.2 Bukan sahaja membuat tetapi memperbanyakkan bahan bantu.
1.3 Belum lagi guru lain keluar, dia sudah ada di muka pintu.
1.4 Sepanjang masa di dalam kelas dimanfaat semaksimanya.
1.5 Dia mengajar dan menunjuk ajar.
1.6 Mendamping murid terutama yang ada kelemahan.
1.7 Menunjuk cara sehingga lebih dari sepuluh kali ulang.
1.8 Memeriksa buku kerja murid dengan teliti, cekap dan terpelihara.
1.9 Memanggil murid secara personal dan profesional sekiranya perhatian tertentu perlu diberikan kepada murid tersebut.
1.10 Berkeinginan seolah-olah didesak dari dalam.
1.11 Berasa seronok dan puas selepas maksud ‘mengajar’nya tercapai dan sebaliknya.
1.12 Merasai bahawa ‘berjaya’ setelah muridnya berjaya.
1.13 Tiada masa untuk duduk di kerusi guru, melainkan berlegar bersama murid untuk mencari di mana lagi kesilapan yang dilakukan untuk diperbetulkan dengan semerta.
1.14 Percakapannya dengan rakan hanya berkisar kepada pelajaran.
1.15 Kerajinannya sehingga orang lain tidak berani mengatakan bahawa dia pemalas.
1.16 Datang awal dan balik lewat.
2. Kreatif Dan Inovatif.
Setiap individu ada kelebihan tersendiri. Guru yang kreatif dan inovatif akan sentiasa memotivasikan dirinya untuk membuat benda-benda yang positif. Setiap perlakuannya akan menyenangkan diri, rakan dan lebih-lebih lagi kepada muridnya.

Selalunya orang menggelarkan guru ini sebagai ‘guru yang tidak pandai duduk diam’. Ada-ada sahaja kerja yang dibuat. Kalau orang tidak buat, dia akan buat. Dia suka buat yang orang lain tidak buat. Hasil kerjanya adalah menakjubkan. Dia tidak banyak menyusahkan orang malah dia lebih suka membantu menyelesaikan kerja orang.

Sebenarnya tidak ramai guru yang demikian. Kalau kita sedar bahawa ianya tidak ramai maka tanggungjawab kita yang pertama ialah meletakkan diri kita dalam kumpulan itu agar menjadi lebih ramai. Bagaimana kalau sekiranya kita sebagai salah seorang yang mula-mula bergerak ke arah itu.

Antara ciri-ciri yang sering dipaparkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

2.1 Tidak luntur ideanya.
2.2 Cakapnya bermotivasi.
2.3 Kesukaran menjadi aspirasi.
2.4 Bersedia mengambil risiko sebagai cabaran. Contohnya mengajar di kelas tidak pandai lebih disukai berbanding mengajar di kelas pandai.
2.5 Mencipta lain dari yang lain.
2.6 Sentiasa memperbaiki kelemahan diri.
2.7 Memanfaatkan peluang dan ruang yang ada.


3. Mesra.
Guru yang berkualiti akan sentiasa mesra dan ceria. Raut wajahnya menyenangkan orang yang melihatnya. Suaranya lunak dan menyenangkan orang yang mendengarnya. Perlakuannya jauh dari menyombong diri dan berbangga. Senyumnya melebar, mudah mesra tanpa memilih status orang yang ada di depannya.

Kemesraannya mudah diterima. Walaupun kita baru sahaja bergaul dengannya, seolah-olah kita mengenali dia bertahun-tahun lamanya. Itulah dia seorang guru mempunyai gaya dan kualiti berwibawa. Dia peramah, senang didekati dan sanggup berkongsi kegembiraan dan kedukaan bersama.

Buah fikirannya yang diberikan selalunya membayangkan kebajikan, keharmonian dan kesejahteraan. Ideanya mudah dan jelas. Senang diterima dan sukar dibahas.

Antara ciri-ciri yang sering dipaparkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

3.1 Mempunyai ramai kawan.
3.2 Tidak ada musuh yang melawan.
3.3 Murid senang menemuinya.
3.4 Layanan kepada murid sangat istimewa.
3.5 Bersifat pemurah dan suka membantu orang.
3.6 Sentiasa tenang dalam setiap tindak tanduknya.


4. Bersungguh-sungguh.
Kerja buat yang dizahirkan oleh guru yang berkualiti adalah begitu bersungguh-sungguh. Komitmen yang diberikan tidak berbelah bagi. Dia akan bersungguh dalam segala kerja yang diberikan. Dia juga bersungguh dalam setiap kerja sendiri yang dilakukan.

Kerjanya cepat disiapkan, kemas dan berkualiti. Mutu kerjanya sangat memuaskan.

Antara ciri-ciri yang sering ditunjukkan oleh guru-guru seperti ini adalah seperti berikut:

4.1 Berhati-hati dan cermat.
4.2 Kerja tidak bertangguh dan membuatnya hingga selesai.
4.3 Mempertingkatkan kualiti diri.
4.4 Bersemangat yakin diri dan yakin boleh. “Kalau orang lain boleh, kenapa kita tidak boleh”.
4.5 Cuba menandingi atau mengatasi prestasi baik orang lain.
4.6 Selagi belum berjaya, selagi itulah dia berusaha.
4.7 Kerja-kerjanya cepat membuahkan hasil.
4.8 Jarang merungut atau mengeluh dan jauh sekali bersifat dengki.


5. Suara.
Guru yang berkualiti mempunyai suara yang pandai disesuaikan mengikut tempat dan keadaan. Selalunya dia bersuara jelas dan senang difahami. Setiap suara yang dikeluarkan mempunyai natijah yang baik. Ada hikmah dan pendorong. Suaranya menyenangkan dan menakjubkan.

Semasa mengajar, guru ini selalunya menggunakan nada suara yang boleh didengar dengan jelas oleh semua murid di dalam kelasnya. Kadang-kadang dia menggunakan suara tanpa bunyi. Dari gerak bibir memberi erti yang jelas kepada pelajarnya. Malah dia mengulang perlakuan itu beberapa kali untuk menerbitkan ironi yang sentimental.

Selalunya guru berkualiti tidak menggunakan suaranya untuk menyakiti rakan dan muridnya. Suaranya tenang dan menenangkan. Suaranya lunak dengan susunan kata yang terpilih.

Luahan idea menerusi suaranya penuh pengajaran. Bila sekali murid dengar, seolah-olah diterima dengan senang. Suaranya tidak terlalu kasar, meninggi atau terlalu perlahan. Suaranya berbunga bahasa, dan dapat menjadi pendorong yang menyelematkan.

Suaranya akan terpapar dalam kondisi berikut:

5.1 Pendengar jadi bermotivasi.
5.2 Orang mudah faham dan terasa mahu mengikut.
5.3 Orang ketawa, orang terdiam dan orang menitiskan air mata.
5.4 Kata-katanya bersemangat dan meyakinkan.
5.5 Menjadi ikutan orang.
5.6 Suasana bising menjadi hening dan hening menjadi gamat.
5.7 Diselitkan dengan kata-kata yang tepat, jitu, melucukan lagi mengesankan.
5.8 Pendengar akan asyik dan tidak akan tertidur.



6. Gaya Mengajar.
Guru yang berkualiti mempunyai gaya mengajar yang sangat istimewa. Gayanya tersendiri dan tidak bersahaja.

Dia mengajar dengan suaranya. Dia mengajar dengan jari-jemarinya. Dia mengajar dengan mata, dia mengajar dengan perut, tangan, kaki dan dia mengajar dengan seluruh anggotanya.

Adalah berbeza guru yang mengajar sambil duduk dengan guru yang mengajar sambil berdiri. Adalah berbeza guru yang mengajar sambil duduk di kerusinya dengan guru yang duduk di atas meja muridnya. Guru yang bersuara perlahan dengan guru yang bersuara kasar. Guru yang rajin dengan guru yang malas dan sebagainya.

Gaya mengajarnya menjadi tempat terimaan ilmu kepada pelajar. Sepatutnya dia mengajar dan murid menikmati pengajarannya. Murid dapat sesuatu dari pengajarannya. Murid faham apa yang diajar dan seterusnya murid dapat mengaplikasikan setiap hasil pengajarannya.

Gaya mengajar guru yang berkualiti adalah berbagai dan sering dipelbagaikan. Masuknya ke kelas menggembirakan murid dan keluarnya dari kelas juga menggembirakan hati murid. Masuknya ke kelas membawa rahmat dan keluarnya dari kelas meninggalkan kerahmatan. Murid masih lagi menyebut-nyebut tentang keistimewaan mengajar guru itu dan tidak sabar-sabar menunggunya lagi di hari esok atau di minggu hadapan.

Amat malang sekali bagi guru yang tidak memiliki keistimewaan sebagai guru berkualiti. Masuknya membosankan dan keluarnya menyeronokkan. Masuknya tidak mampu menyampaikan apa-apa mesej kepada pelajar namun lagi cepat dia keluar lagi murid berasa suka. Tambah menyedihkan lagi bila murid menggelarkan kita dengan berbagai gelaran. “Cikgu mulut murai dah masuk”. “Cikgu anak harimau dah masuk”. Cikgu bercakap seorang diri dah masuk”. “Cikgu yang hanya pandai menyuruh buat kerja tapi tak ajar dahulu dah masuk” dan macam-macam lagi.

Ciri-ciri guru yang mempunyai kualiti gaya mengajarnya ialah:

6.1 Tahu di mana tahap muridnya berada.
6.2 Tahu siapakah muridnya yang sebenar.
6.3 Mengajar sambil berdiri.
6.4 Mempelbagaikan kaedah.
6.5 ‘Hidup’ lagi menyeronokkan.
6.6 Terhibur dalam mengajar dan belajar.
6.7 Menggunakan segala yang ada untuk mengeksploitasikan pengajaran.
6.8 Dua hala.
6.9 Penyampaian yang berkesan.
6.10 Menekankan disiplin belajar.
6.11 Menyelitkan motivasi.
6.12 Mudah ubah.



7. Tegas.
Guru yang berkualiti selalunya tegas dalam setiap tindak tanduknya. Dalam menjalankan tugasnya ada ketegasan. Semasa mengajar ada ketegasan. Mengawasi disiplin murid juga memerlukan ketegasannya. Pendek kata, ketegasan menjadi faktor pendorong kepada guru itu sendiri sama ada ianya guru berkualiti atau sebaliknya.

“Boleh”, “Tidak”, “Jangan”, “Mesti buat begini” merupakan kata-kata yang sering keluar dari bibir guru yang berkualiti. Tegasnya bukan bermaksud menyekat atau menyiksa. Ketegasan sekadar suatu usaha untuk mendewasakan pelajar yang terpaksa menjejaki liku-liku pembelajaran dan kehidupan masa depan.

Selalunya guru yang tegas akan dihormati murid. Keseriusannya menjadi penentu kepada jatuh bangun mereka. Dia juga berhemat dan mempunyai pertimbangan. Murid yang berdisiplin akan berjaya dan murid yang langgar disiplin akan kecundang sebelum menikmati apa-apa kejayaan.
Bila guru bertegas, maknanya jangan ada lagi kelonggaran itu dan ini. Jangan pula hanya bertegas kepada murid itu tetapi tidak bertegas kepada murid ini. Jangan pula bertegas kepada lelaki tetapi tidak kepada yang perempuan atau sebagainya.

Ciri-ciri guru yang mempunyai ketegasan ialah:

7.1 Suaranya agak kasar.
7.2 Tindak tanduknya cepat.
7.3 Matanya agak membulat.
7.4 Berdisiplin tinggi.
7.5 Ada semangat kepimpinan.
7.6 Susuk badan yang tegap.
7.7 Bermotivasi.
7.8 Berpandangan jauh.
7.9 Berfikiran terbuka.
7.10 Bertimbang rasa.
7.11 Kuat semangat.
7.12 Penyayang.


8. Teknik Mengajar.
Teknik mengajar merupakan suatu yang sangat mustahak dalam sesuatu pengajaran. Hidup atau matinya sebuah episod pengajaran itu terletak kepada teknik pengajaran. Ianya akan lebih bermakna jika pengajaran guru penuh dengan teknik-teknik yang sesuai.

Untuk menjadi seorang guru Matematik yang baik memang memerlukan beberapa kriteria yang unggul selain daripada asas-asas yang perlu ada kepada seseorang guru itu sendiri. Keberkesanan pengajarannya adalah bergantung kepada beberapa teknik yang digunakan semasa penyampaian isi pelajaran.

Antara bentuk pengajaran yang boleh dilaksanakan dalam pengajaran Matematik adalah sebagaimana berikut:

1. Pengajaran secara kelas.
2. Pengajaran secara kumpulan.
3. Pengajaran secara individu.

Bentuk-bentuk pengajaran ini boleh dipraktikkan mengikut kesesuaian semasa. Ia juga boleh digabungjalinkan antara satu sama lain. Peringkat awal, pengajaran secara kelas. Selepas itu pengajaran secara kumpulan dan berakhir dengan pengajaran secara individu. Semuanya menagih kesungguhan guru bagi mengendalikannya dalam suatu masa.

Antara teknik-teknik berkesan yang boleh digunakan:

a) Teknik bercerita.
Teknik ini selalunya diajar kepada pelajar yang sederhana atau pelajar lemah dan ia pasti akan mudah menakkul isi pelajaran yang disampaikan. Contohnya 20 orang askar yang pergi berperang. 5 orang gugur dalam pertempuran. Bilangan askar yang masih hidup ialah 15 orang.

b) Teknik cuba jaya.
Teknik ini adalah lebih sesuai kepada pelajar yang sudah ada asas Matematik. Sedikit bimbingan guru akan menyebabkan mereka mudah meneroka soalan dan mencari jawapannya.

c) Penerangan oleh guru.
Teknik ini selalunya diberi di awal sesuatu pelajaran atau topik yang hendak diperkenalkan. Penjelasan mestilah cukup, sempurna dan pelbagai. Cukup; ertinya dimasukkan dengan berbagai contoh. Sempurna; ertinya langkah-langkah pengiraan secara teratur dan jitu. Manakala pelbagai; ertinya pelbagai cara penyelesaian diperkenalkan agar murid dapat mengambil jalan pengiraan yang paling serasi dengannya.

d) Rakan sebaya.
Teknik ini dilaksanakan kepada murid-murid yang jurangnya sangat ketara. Murid yang pandai sekali-sekala digunakan bagi membantu guru dalam menyelesaikan beberapa perkara yang agak sukar dijelaskan kepada murid lemah secara serentak dan menyeluruh dalam suatu jangka masa yang singkat.

e) Simulasi.
Cara ini selalunya dilakukan bagi memantapkan sesuatu kefahaman murid. Contohnya semasa mengajar tajuk ukuran panjang, timbangan berat, masa, peratus, purata dan sebagainya. Proses-proses simulasi ini akan memberi kefahaman yang mendalam dan lebih kekal jika dibandingan dengan teknik-teknik lain. Proses simulasi ini juga akan memberi lebih ruang kepada pelajar untuk mengalami sendiri langkah-langkah pengiraan dan seterusnya menerbitkan jawapan.

f) Latih tubi.
Teknik ini selalunya dilakukan untuk murid-murid yang sangat lemah dan masih berada di paras kenal fakta asas. Ulang-ulang ini sangat penting bagi memantapkan kefahaman mereka. Semasa teknik ini berjalan, pengawasan guru adalah tersangat penting kerana kesedaran dan kefahaman mereka tidak akan sampai ke mana jika mereka gagal memahami sesuatu konsep itu.

g) Hafalan.
Teknik ini hanya berlaku dalam beberapa situasi tertentu sahaja. Umpamanya semasa menghafal sifir dan formula. Teknik ini juga sesuai diterapkan kepada murid-murid yang berlaku difisit pembelajaran. Mungkin dengan cara ini akan menjadikan mereka lebih mantap dan mampu menguasai pelajaran berikutnya.

h) Ansur maju.
Kaedah ini dilaksanakan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai tahap penguasaan yang sederhana. Selain daripada bimbingan biasa, mereka juga perlu diansur majukan pada setiap ketika agar aras kefahaman mereka akan dapat dipertingkatkan. Kaedah ini sangat sesuai untuk murid sederhana dan murid yang berada di bawah paras sederhana.

i) Menyalin / meniru.
Pelajar-pelajar lemah sesuai dilaksanakan dengan kaedah ini khasnya pada peringkat awal sesuatu topik mula diperkenalkan. Menerusi cara ini akan memberi ruang kepada mereka untuk meneroka proses pengiraan dan seterusya mereka akan dapat 'berjalan sendiri'.

j) Bersoal jawab.
Teknik ini sesuai dilakukan di awal atau di akhir pelajaran. Menyoal di awal pelajaran adalah untuk mengetahui maklumat sedia ada pada murid-murid. Menyoal di akhir pelajaran pula ialah untuk mengetahui sejauh mana mereka faham dengan pelajaran yang diajar pada kali ini.

k) Tunjuk cara.
Kaedah ini hanya dilakukan kepada pelajar-pelajar yang masih belum memahami proses pengiraan terhadap sesuatu soalan itu. Mungkin murid-murid tidak faham soalan atau mungkin juga mereka tidak mengetahui cara menyelesaikan masalah tersebut. Tunjuk cara di sini bermaksud menerangkan langkah-langkah pengiraan. Ianya sangat penting kerana mereka akan menjadi faham setelah mengalami proses tunjuk cara tersebut.

Selain daripada kepelbagaian teknik yang dinyatakan di atas, seseorang guru Matematik akan menjadi lebih diminati jika sekiranya beliau mempunyai beberapa ciri lain. Antaranya ialah:


1. Mempunyai perawakan yang menarik.
2. Pakaian yang kemas.
3. Memiliki 'body language'.
4. Ada gaya dan daya.
5. Kaya dengan ilmu Matematik.
6. Pintar cerdas.
7. Sabar dan penyayang.
8. Pandai mengklasifikasikan murid dan pandai mengubahsuaikan teknik pengajaran kepada pelbagai murid tadi.

9. Ilmu Yang Cukup.
Islam mengajar kita agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China. Oleh itu, kita dituntut belajar dan terus mencari ilmu. Seseorang guru itu masih belum berilmu jika dia merasakan bahawa dirinya telah berilmu.

Dalam konteks ini, guru seharusnya memiliki ilmu yang cukup bagi mengajar murid-muridnya. Jangan nanti dikatakan bahawa murid lebih pandai daripada guru. Tambahan pula sekarang ini kita telah terjun dalam dunia IT, dunia tanpa sempadan dan alam globalisasi. Zaman internet dan sebagainya. Kebanyakan pelajar lebih cepat meneroka berbanding dengan guru. Oleh itu, guru perlu memperlengkapkan diri dalam semua bidang tertama sekali bidang mata pelajaran yang hendak diajarnya kepada murid-murid.


10. Mudah Ubah.
Guru Matematik yang berkualiti mempunyai ciri-ciri mudah ubah. Dia pandai mengatur dan menukar strategi. Kalau ujud suasana begini, maka begini pula cara pengajarannya. Bila berdepan dengan murid lemah, begini cara ajarnya. Bila berdepan dengan murid pandai, lain pula cara ajarannya.


11. Bermotivasi.
Dikatakan bahawa penampilan guru yang bermotivasi bilamana kita melihat wajahnya, kita akan mencapai ketenangan. Sejuk mata memandang. Bila mendengar tutur katanya, kita akan berasa yakin. Murid yakin dan semua orang akan yakin dengan kata-katanya. Dia tidak berbohong dan melampau.

Perlakuan guru bermotivasi boleh diteladani. Dia menjadi sumber aspirasi. Dia penunjuk jalan. Dialah pula tempat luahan permasalahan. Guru bermotivasi mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah. Kalah dalam berjuang merupakan adat. Kalah sebelum berjuang adalah biadab.

Guru bermotivasi mempunyai semangat juang yang sangat tinggi. Dia tidak mudah mengeluh atau menggeleng kepala. Dia tidak mudah menitiskan air mata walaupun kedukaan datang menimpa.

Satu lagi sifat yang ada pada guru bermotivasi ialah berjiwa pemimpin. Dia tahu membawa diri dan mengajar serta mengajak orang lain menyertainya. Dia akan merasa resah bila melihat orang lain terus mundur atau tidak mahu melangkah ke depan bersamanya. Selain dari itu, guru bermotivasi adalah orang yang boleh dipercayai. Dia tabah dan gagah. Dialah pembela dan dialah orang yang boleh dipertanggungjawabkan. Guru seperti ini sangat kuat berpegang kepada falsafah “Kalau menjadi guru, jadilah guru yang lebih baik daripada guru-guru lain”.

Hakcipta@Mat Latif Ali(Guru Pakar Matematik Daerah Besut)

ILMU MATEMATIK

TANDA-TANDA MURID YANG CINTAKAN MATEMATIK


Guru Matematik akan sentiasa ingat kepada muridnya dalam dua situasi yang berbeza. Pertama ialah bilamana muridnya terlalu pandai matematik dan kedua ialah muridnya terlalu lemah matematik. Kalau murid telah pandai, tugas guru menjadi lebih ringan dan kalau murid masih lemah, tugas guru menjadi sebaliknya.

Antara kualiti murid yang cintakan matematik adalah seperti berikut:

1. Ingat Sifir.

Bagi memperkatakan tentang ‘ingat sifir’ – saya cuba memperturunkan pengalaman-pengalaman saya yang lampau. Murid dikategorikan ‘Ingat sifir’ bila dia dapat menjawabnya dalam masa tiga saat. Contohnya: Guru soal 6 x 9 dan murid mampu jawab 54 dalam masa tiga saat. Jika sekiranya murid gagal menjawab dalam tempoh itu, bermakna dia masih belum ingat sifir.

Sifir ialah tambah berulang. Dari segi konsep, 1 x 6 bermaksud satu kumpulan yang ada enam ahli di dalamnya (Kumpulan darab ahli). Jelaskan kepada sejelas-jelasnya tentang konsep tersebut. Setelah mereka benar-benar faham barulah mereka hafal secara hafalan.

Tidak ada jalan mudah bagi murid untuk ingat sifir melainkan dengan cara hafalan. Tidak ada cara hafalan yang paling cepat ingat melainkan dengan meletakkan sifir di depan. Contohnya sifir 6 : Cara hafalan yang paling cepat ingat ialah 6 x 1, 6 x 2, 6 x 3, 6 x 4, 6 x 5 dan seterusnya.

Cara hafalan juga bolehlah dibuat berperingkat-peringkat. Kalau sifir 6, galakkan murid menghafal 6 x 1 hingga 6 x 5 dahulu dan ulang-ulang sehingga 10 atau 20 kali. Setelah ingat barulah pindah 6 x 6 dan 6 x 7. Ulang lagi hingga 10 atau 20 kali. Baca semula secara tutup mata dan kalau dah ingat bolehlah naik lagi 6 x 8 dan 6 x 9. Ulang lagi hingga 10 atau 20 kali sehingga murid mampu ingat keseluruhan sifir 6. Selepas itu cuba uji secara rambang : 6 x 7. Kalau murid berjaya menjawabnya dalam masa tiga saat maka dia boleh dikatakan ingat sifir.

Ingat atau tidak ingat sifir akan menentukan tahap pencapaian murid itu sendiri. Saya kategorikan murid-murid itu dalam empat keadaan berdasarkan sifir.

Bil Kategori Pencapaian
1.Ingat A
2.Tidak ingat sedikit lagi.(B)
3.Ingat sedikit-sedikit.(C)
4.Tidak ingat.(D / E)

Untuk mengetahui pencapaian pelajar, guru boleh tanya muridnya sama ada dia ingat atau tidak ingat. Jawapan yang diberikan mengikut kategori di atas selalunya sama dengan pencapaian dalam ujian yang dihadapinya.

Bagi mengekalkan daya ingatan murid, sekali sekala bolehlah guru meminta dia menyalin sifir dalam petak 100 atau sebagainya. Bagi murid yang lemah sifir, galakkan mereka menulis sifir pada kertas soalan sebelum mereka menjawab soalan-soalan Kertas 1 atau Kertas 2.

Sebagai tambahan; selalunya murid tidak ingat sifir akan terlahir dalam dua ‘ba’ iaitu “tak kaba” dan “Tok Leba”. (Hanya istilah yang diberikan oleh saya untuk hiburan). Murid akan ketawa bila dua cerita ini diluahkan kepada mereka. Mungkin mereka akan terpanggil untuk menjauhi dua ‘ba’ tersebut.

“Tak kaba” (Loghat daerah) terjadi bila murid itu tidak ingat sifir lantas terbeliak matanya atau matanya mendongak ke atas. Soalan cikgu tanpa berjawab. “Tok Leba” ialah singkatan dari perkataan Tok Lebai. Bila cikgu soal sifir, dia lantas menadah tangan seolah-olah berdoa dan mulutnya kumat-kamit sambil melihat atau menghitung jari jemarinya. Dia juga gagal menjawab soalan guru. Paling seronok lagi bila ada rakan di sebelah menyebut ‘amin’.

Murid yang berkualiti matematik ialah murid yang ingat sifir dan murid yang tidak ingat sifir bermakna dia masih belum berkualiti matematik. Ingat sifir bermakna ‘A’ dan tidak ingat bermakna ‘D / E’. Guru cuba ulang-ulangkan kepada murid tentang kategori ini. Mudah-mudahan mereka akan cuba hafal dan akhirnya mereka ingat sifir.


2. Ingat Formula.

Formula merupakan perkara kedua terpenting selepas sifir. Formula boleh diistilahkan sebagai tahu hala tuju, tahu jalan dan tahu buat. Tidak ingat formula menyebabkan murid akan hilang punca dan menuju kepada SALAH.

(Rujuk lembaran Formula di muka surat )


3. Rajin Buat Latihan.

Murid yang berkualiti matematik akan sentiasa rajin membuat latihan. Sebaliknya murid yang tidak berkualiti matematik akan ‘culas’ (menjauhkan diri) dari membuatnya.

Yang rajin akan sentiasa mencari jalan untuk membuat latihan-latihan. Dia akan berusaha mencari soalan sama ada dari buku teks atau buku-buku rujukan yang lain. Mungkin mereka akan memintanya daripada guru, rakan, sahabat pena dan sebagainya.

4. Suka Tanya Guru.

Suka tanya guru hanyalah mencakupi bidang matematik dan bukan menyimpang kepada perkara-perkara lain. Bila ada masalah, dia akan segera tanya guru. Sebaik sahaja ujian selesai, dia cepat-cepat tanya guru, berapakah markah yang didapati. Makin meningkat atau makin menurun. Dapat A atau belum dan sebagainya.

Murid yang tidak berkualiti matematik akan bertindak bersahaja. Mereka seakan-akan tidak kisah tentang itu semua. Markah naik atau turun, lulus atau tidak bukan menjadi faktor penting bagi mereka.


5. Berdisiplin.

Murid yang berkualiti matematik selalunya murid yang kuat disiplinnya. Mereka yang pandai matematik selalunya pandai pula dalam subjek-subjek yang lain. Disiplin merupakan faktor penyumbang kepada maju mundurnya prestasi seseorang murid itu.

Disiplin yang ditekankan di sini ialah disiplin semasa belajar, semasa membuat latihan, pengendalian buku latihan, membuat pembetulan, kehadiran sebelum masa belajar sama ada pagi, petang atau malam, membuat kerja rumah, kebersihan dan sebagainya.


6. Membuat Pembetulan.

Setiap kesalahan seboleh-bolehnya diberitahu terlebih dahulu kepada murid-murid. Jangan nanti murid tidak tahu kenapa dia salah. Setiap kesalahan hendaklah dibuat pembetulannya. Jika murid tidak tahu, mereka hendaklah bertanya kepada guru.

Membuat pembetulan ialah menyalin semula secara keseluruhan soalan, proses membuat jalan kira sehingga keluar jawapan baru yang betul. Jangan sekali-kali biarkan murid memadam jawapannya yang salah dan digantikan dengan jawapan yang betul. Jika perkara seperti ini dibiarkan, lambat laung akan benar-benar membahayakan guru.

Tanamkan semangat disiplin kepada murid-murid agar mereka membuat pembetulan sebagaimana yang dikehendaki guru.


7. Sering Berbincang Dengan Kawan.

Murid yang ada kecintaan kepada matematik akan mendorong diri sendiri demi mencapai kecemerlangan. Mereka akan berdampingan dengan rakan-rakan dan berbincang sesuatu mengenai matematik. Mereka saling bersoal sifir, bersembang tentang formula, bincang soalan dan sebagainya.

Apa yang paling baik hasil dari perbincangan tersebut ialah timbulnya rasa mahu membantu kawan yang lemah dan menimba ilmu daripada kawan yang lebih pandai. Kalau hal sedemikian digarap dan dipupuk, ia pasti akan melahirkan insan yang berjiwa murni.

Bagi pelajar yang agak pandai, mereka akan sentiasa mahu membantu rakannya yang lebih lemah daripadanya. Semua pelajar mampu berbuat demikian. Dia hanya akan menegur jika rakannya yang lemah tadi membuat sebarang kesilapan walaupun yang sekecil-kecilnya. Umpamanya, rakan yang kurang pandai itu terlupa meletakkan titik perpuluhan, lantas dengan sepontan dia akan menegurnya. Oleh yang demikian, akan berlakulah pemindahan ilmu daripada murid yang pandai kepada murid yang kurang pandai.

Bagi pelajar-pelajar yang kurang pandai tetapi di dalam dirinya ada kecintaan kepada matematik, dia pasti akan sentiasa mencari rakan yang dapat membantunya. Dia tidak akan jemu bertanya atau berbincang. Dia seharusnya sedar bahawa berbincang dengan rakan yang lebih pandai itu akan mendatangkan natijah yang paling berguna untuknya.


8. Semangat Berlumba-lumba.

Murid yang ada kecintaan kepada matematik akan merasa dirinya layak untuk menjadi pelajar yang paling pandai dalam mata pelajaran matematik. Dia akan berasa puas sekiranya markah yang diperolehi mengatasi pelajar-pelajar lain. Sebaliknya dia akan merasa hampa jika markah murid lain lebih daripada markah yang diperolehinya.

Semangat berlumba-lumba seperti ini dianggap perlumbaan yang sihat. Sepatutnya dalam setiap diri murid itu telah tertanam dengan semangat demikian. Persoalan yang patut ada dalam diri setiap murid ialah seperti berikut:

8.1 Kenapa dia lebih pandai dari saya?
8.2 Kenapa dia ingat dan saya tidak ingat?
8.3 Kenapa saya tersalah buat?
8.4 Kenapa saya masih dapat B sedangkan dia sudah dapat A?
8.5 Bagaimana harus saya lakukan sekarang?

Murid digalakkan agar mengambil satu pendekatan yang mungkin akan menguntungkan mereka. Galakkan dia berusaha gigih demi mencapai A dalam peperiksaan yang akan datang dan seterusnya peperiksaan yang sebenar. Kalau mereka ragu-ragu, guru bolehlah memberi perangsang kepada mereka. Buatlah apa juga pendekatan demi kecemerlangan murid-murid kita. Cemerlangnya murid akan menampakkan kecemerlangan guru. Lemahnya murid akan menggambarkan kelemahan guru. Guru adalah segalanya bagi murid-murid yang mengerti akan pengorbanan guru terhadapnya.

9. Suka Bila Guru Masuk Kelas.

Sedikit sebanyak, guru adalah faktor penting sama ada murid akan meminati matematik atau sebaliknya. Kalau guru bagus, murid tentu sekali akan menyukainya. Bila murid menyukai seseorang guru itu, sudah pasti mata pelajarannya juga akan disukai oleh pelajar berkenaan.

Hal sedemikian sering terpapar pada perlakuan seharian murid. Antaranya adalah seperti berikut:

9.1 Mereka akan menyuruh Ketua Kelas memanggil guru jika guru itu terlambat masuk kelas.
9.2 Mereka akan tersenyum bila nampak guru menuju ke kelasnya.
9.3 Masuknya guru itu ke kelasnya seolah-olah menambahkan lagi kegembiraan kepada mereka.
9.4 Mereka telah bersedia dengan pensel, pembaris, pemadam dan buku-buku untuk menerima pelajaran.
9.5 Mereka sayang untuk meninggalkan kelas semasa mata pelajaran matematik.
9.6 Meminta agar guru menambahkan soalan latihan atau meminta kerja-kerja rumah.
9.7 Meminta agar dilambatkan waktu rehat atau waktu pulang.
9.8 Suka mengangkat tangan atau memberi tindak balas positif untuk memberi jawapan atau pendapat sewaktu perbincangan dijalankan.
9.9 Merasai bahawa masa untuk mata pelajaran matematik terlalu cepat berlalu. Rasa belum puas, tetapi masa telah habis.
9.10 Benar-benar mengharapkan agar guru berkenaan masuk lagi pada hari esok dan seterusnya.


10. Menitiskan Air Mata.

Amat senang bagi guru untuk membuatkan murid-muridnya ketawa. Bukan senang bagi murid untuk menitiskan air mata sekadar untuk suka-suka. Melainkan ada sesuatu desakan dalaman yang tulus suci sehingga menitisnya air mata yang melambangkan keinsafan kudus yang berlaku secara tersembunyi.

Kalau murid itu menitiskan air mata bukan kerana dimarahi guru, kalau murid itu menangis bukan kerana takut dimarahi emak, dan kalau murid itu menangis bukan kerana takut terlepas beberapa hadiah sudah pasti tangisnya membawa makna yang murni.

Alangkah beruntungnya seorang guru yang memiliki murid-murid yang tangisnya seperti berikut:

10.1 Kerana salah satu atau dua soalan sahaja.
10.2 Kerana terlupa membuat apa-apa yang guru suruh.
10.3 Kerana menginsafi yang dia tidak patut salah soalan tersebut.
10.4 Menerima hakikat kegagalan dan bimbang kalau-kalau dia gagal lagi dalam ujian berikutnya.
10.5 Menyesali atas kelemahan diri sendiri.

Sebagai tambahan; saya pernah bertemu dengan seorang pelajar perempuan yang menangis teresak-esak sebaik sahaja kertas markah ujian dibahagikan semua kepada mereka. Tangisnya benar-benar menyentuh perasaan saya. Kain tudungnya basah akibat air mata yang meluncur laju. Saya pula berasa seolah-olah saya telah melakukan suatu kesalahan yang maha besar kepadanya.

Saya cuba dekati dan bertanya sesuatu kepadanya. Dia mendongak dan saya dapati cucuran air matanya semakin menjadi-jadi. Air mata saya juga mula tergenang. Dikesat lagi air matanya dengan kain tudung. Semakin kuat pula saya merasai kesalahan diri saya kepadanya.

Setelah didesak sekali lagi lantas dia menjelaskan bahawa cikgu tidak bersalah tetapi dia sendiri yang tersalah. Setelah dijelaskan kepada saya, barulah saya sedar bahawa dia menangis kerana tersalah buat, sehingga menyebabkan dia salah dua soalan. Sepatutnya dia tidak tersalah buat soalan-soalan tersebut dan sepatutnya dia berhak mendapat 100 markah.

Kalau hendak dikira, apalah sangat kesalahan pelajar tersebut. Pelajar itu masih mampu dapat A dalam ujian itu dan tidak seharusnya dia rasa terlalu bersedih hati sehinggakan terpaksa dibayar dengan mengeluarkan air mata yang banyak.

Buat masa ini, pelajar tersebut sedang menuntut di salah sebuah universiti di luar negeri. Semoga dia berjaya dalam kehidupannya, dunia dan akhirat.

hakcipta.....mat latif ali (guru pakar matematik sekolah rendah daerah besut)

Kisah Dan Tauladan

DOA SI-SEPET YANG MAKBUL

Satu ketika di zaman seorang Khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing. Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak turun selama beberapa bulan. Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan hujan. Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai ustaz, tok guru dan para abid yang berpengaruh serta mempunyai ikutan yang ramai, untuk bersama-sama berdoa kepada Allah; tetapi keadaan masih tidak berubah. Khalifah menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat pinta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa Khalifah. "Ya khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah macam tak begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan ramai para ulamak dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan pula kamu yang begini?". Pemuda itu menjawab, "Insyallah doa kita akan dikabulkan!".
Pemuda itu terus mengimami sembahyang bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis doanya, dengan tidak diduga hujan turun mencurah-curah dengan lebat. Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu menceritakan "Pernah semasa muda dulu, saya begitu asyik melihat wajah seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari rongganya. Sebab itulah mata saya menjadi sepet. Saya bertaubat dari kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah." Khalifah mengucapkan terima kasih dan terus sujud syukur kepada Allah.

MORAL & IKTIBAR
  • Allah menurunkan bala sebagai peringatan kepada hamba-hambanya atas dosa yang dilakukan. Kehendak Allah mengatasi segala.
  • Allah menyayangi orang yang bertaubat sehingga apa saja doanya dikabulkan Allah.
    Allah sayang kepada seseorang bukan kerana rupa dan sifat lahiriahnya, tetapi kerana sifat ubudiah dan ketaqwaannya.
  • Untuk mengatasi apa jua masalah yang menimpa, Allah menganjurkan kita supaya kembali kepadaNya.
  • Jangan memandang orang dari sifat lahiriahnya tetapi lihat dari segi amalan dan ketaqwaanya kepada Allah.

Pedoman Kepada Seorang Isteri.....

Ciri-ciri isteri yang baik menurut Islam

Assalamualaikum wbt,
Isteri yang baik secara total akan mudah melahirkan rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir.
Kita sedar dan faham rumahtangga yang bahagia lahir daripada isteri yang soleh, jiran yang baik dan kenderaan yang sempurna. Dan wanita adalah penentu buruk baik sesebuah masyarakat. Manakala masyarakat yang baik pula lahir daripada rumahtangga dan keluarga yang bahagia.
Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerah oleh Allah s.w.t. bersesuaian sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.
Daripada sifat semula jadi dengan kehalusan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal agar kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang soleh, sudah pasti berhasil.
Rumahtangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri akhlakul karimah perlulah memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan yang pembetukan rumahtangga yang bahagia. Tanggungjawab ini perlulah benar-benar difahami, dihayati dan dilaksanakan agar cita-cita untuk melahirkan rumahtangga bahagia terhasil.
1. Taat dan kasih kepada Allah dan Rasul
Ketaatan kepada Allah akan jelas dilihat dari segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan dipatuhi dengan sesungguhnya. Perintah dan larangan ini tergambar dengan jelas sebagaimana yang dibawakan oleh Rasulullah s.w.a. Ketaatan yang tidak berbelah bagi dengan sendirinya kan melahirkan disanubari perasaan kasih kepadanya.
Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud. "Katakan: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu peroleh, perniagaan yang kamu khuatiri akan rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan Rasulnya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik."
Jelas kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah s.w.t. akan menelurkan kasih dan cinta yang tidak ternilai di sisi manusia. Ketaatan dan cinta kepada Allah ini bukanlah mudah diperolehi sekirannya persediaan kearah itu disambilewakan.
Pendidikan jiwa supaya beriman sesungguhnya kepada Allah dan Rasul-Nya, perlulah dididik sejak awal lagi. Didikan ini akan menjadi benteng dan memahami akan batas-batas yang dilarang dan dibolehkan dalam ugama. Keimanan yang kukuh, perbuatan yang soleh dan mengikut ketetapan yang ditentukan dengan sendirinya secara mudah akan dapat melawan hawa nafsu lahiriah dan bathiniah.
" Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat kamu menghitungnya.," An-Nahl ayat 18. Daripada rasa kenikmatan yang diberikan oleh-Nya yang tidak terkira akan memahami betapa hamba sangat-sangat memerlukan kepada Khaliknya. Sifat ihsan dengan sendiri mengonkong diri insan; kerana sifat wanita biasanya tidak akan puas dengan panorama duniawi.
2. Akhlak mulia dan sempurna sebelum kecantikan
Kita fahami bahawa Allah tidak memandang paras rupa (kecantikan) sesaorang tetapi akhlak yang mulia menjadi nilaian yang kukuh disisiNya. Akhlak mulia dan sempurna menjadi pakaian yang kekal manakala kecantikan akan luntur dimakan atau dimamah usia. Tetapi kiranya kecantikan ini dapat diadunkan dengan akhlak yang mulia sudah tentu ia adalah pilihan utama setiap insan.
Untuk melahirkan wanita yang berakhlak baik perlulah dididik dan diasuh dengan nilai-nilai yang begitu rupa agar meninggikan lagi taraf kamanusian dan sekaligus membezakannya dengan sifat kehaiwanan.
Isteri yang berakhlak mulia dengan mudah dapat memahami akan bentuk-bentuk pakaian yang harus dikenakan pada tubuhnya dalam keadaan tertentu; dapat mengawal perkataan-perkataan yang maaruf ketika berbicara dan mengetahui akan batas-batas bergaul sesama rakan, suami, keluarga dan juga saudara-mara yang lainnya.
Di samping itu segala tindakannya mempunyai perbezaan dengan wanita yang tidak soleh. Ia tidak gemar membeli tanpa izin suaminya, apatah lagi penjualan dengan cara berhutang sepertimana kaedah sistem belian pati yang berluasa sekarang. Ia lebih mirip kepada kemaksiatan daripada yang maaruf.
Juga tidak bertindak menggunakan harta dan wang suami tanpa izinnya. Sekiranya tidak mencukupi maka ambillah secara yang maaruf sebagaimana yang dilakukan oleh isteri Abu Sufian; Rasulullah menasihatkan agar mengambil dengan maaruf dan yang berhajat sahaja. Isteri yang soleh juga akan mudah mengawal harta benda suami ketika ketiadaan-Nya
3. Mengambil berat kewajipan rumahtangga dan berusaha memperbaikinya.
Wanita yang telah dididik sejak awal-awal lagi dengan akhlak yang mulia secara matang mengetahui akan persediaan berumahtangga dan memahami kewajipannya memperbaikinya dari masa ke semasa dengan patuh dari tunjuk-ajar suaminya.
Sabda Rasulullah s.a.w. dari Ibnu Abbas r.a yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, "Mahukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu ialah wanita yang soleh. Apabila suaminya melihat kepadanya, girang dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya."
Dari hadith di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bagi asalkan yang diredai Allah s.w.t dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika ketiadaannya.
Ketaatan dan kepatuhan ini akan memudahkan penerimaan hidayah Allah s.w.t dan ketenangan hati suami dalam menjalani hidup berumahtangga. Dan sekaligus seolah-olah menjadi suatu simpanan yang sangat berharga bagi seorang lelaki berumahtangga apabila memiliki isteri yang baik budi pekerti atau perangainya dan mampu mengendalikan rumahtangga dengan baik.
Walaupun di dalam Islam tanggungjawab di dalam rumahtangga seperti menjaga anak-anak dan memasak serta lain-lain tidak diwajibkan sepenuhnya kepada isteri tetapi isteri yang soleh merasakan tanggungjawab ini biarlah ia yang menanggungnya. Kerana ia tidak mahu tangan orang lain mendodoikan anaknya ketika hendah tidur; tidak mahu tangan lain memasakkan makanan suaminya atau sebagainya dan memahami tugasnya adalah melayani suaminya semata-mata.
Isteri yang soleh sungguh cekap dan teratur melayani suaminya menjaga dan mendidik anak-anak, menyediakan makan minum keluarga, mengemas tempat tinggal dengan rapi dan lainya. Sedaya upaya berusaha memperbaiki kewajipan yang telah diamanahkan oleh suaminya.
Isteri yang begini akan melahirkan rumahtangga yang tenteram, riang gembira dan menjadi rumahtangga contoh dalam masyarakat. Begitulah yang dikehendaki dalam Islam.
4. Malu dan taat
Sifat malu sememangnya lumrah bagi seorang wanita. Malu seorang isteri adalah hormat dan taat yang sebenarnya kepada suaminya, selagi suaminya taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Isteri akan diam semasa suami bercakap, membenarkan kata-katanya dan menghormati segala pesanannya. Bermuzakarah boleh juga diadakan tetapi ia perlu dikawal oleh akal kerana wanita itu berakal pendek walaupun mempunyai rambut yang panjang. Perbincangan yang mengikut nafsu syaitan dan sikap memberontak, menangi dan menghentak-hentak kaki yang akhirnya akan memporak-perandakan rumahtangga.
Hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu Majah mengatakan. "Ketahuilah dan hendaklah kamu berpesan-pesan kepada kaum wanita dengan baik-baik, kerana sesungguhnya mereka itu tawanan bagi kamu, tidak ada kekuasaan sedikitpun bagimu daripada mereka itu selain yang demikian itu, kecuali jika mereka itu mendatangi/mengerjakan sesuatu kedurhakaan yang nyata. Maka jika mereka berlaku curang, berbuat durhaka, hendaklah kamu tinggalkan tempat tidurnya dan berilah pukulan yang tidak menyakitkan. Kemudian bila mereka taat dan patuh kepadamu, janganlah kamu cari jalan yang bukan-bukan untuk berbuat tidak senonoh kepada mereka. Ketahuilah, sesungguhnya bagi kamu ada suatu kewajipan atas isteri-isterimu, dan isteri-isterimu ada kewajipan ke atas kamu pula. Adapun kewajipanmu (suami) atas isteri-isterimu ialah bahawa mereka itu janganlah menginjakkan tempat tidurmu dengan orang yang tidak kamu sukai, dan mereka janganlah memperkenankan orang-orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumahmu; dan kewajipan mereka (isteri) atas kamu ialah bahawa kamu hendaklah berbuat baik atas mereka itu dalam urusan pakaian dan makanan mereka."
Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai berlaku yang tidak sesuai denga kewanitaannya dan dilarang oleh agama.
Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan meghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.
5. Mulia dan hormati ahli suami dan kerabatnya
Bermula selepas ijab & qabul, tugas dan tanggungjawab ibu bapa selama ini berpindah secara automatik ke bahu suami sepenuhnya. Dan sebagai seorang isteri, suamilah tempat ia bergantung kasih sayang.
Oleh itu tidak syak lagi seorang isteri itu menghormati akan ahli-ahli (adik-beradik) suami, saudara-mara dan kerabatnya mengikut batas yang tertentu. Dan perhubungan dan pertaliannya mempunyai had dan batas yang dibolehkan di dalam Islam.
Kedatangan mereka terutama ibu bapanya perlulah disanjung dan hubungan ini perlu dititik-beratkan. Ada di kalangan keluarga Islam, perhubungan antara suami dan ibu bapanya renggang disebabkan oleh sikap isteri yang tidak menyenangkan orang tua suami.
Kadangkala isteri itu meminta barang-barang keperluan yang tidak dimampui oleh sisuami hingga membabitkan keluarganya akan juga menjadi punca perpecahan antara suami isteri dan kaum keluarganya. Memuliakan dan menghormati suami dan kaum kerabatnya merupakan satu tanggungjawab isteri yang baik.
Wassalam

Kisah Dan Tauladan

Satu Kisah Menarik Untuk Kita Renungkan Bersama

Kira-Kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah (si A), telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut (kerana sakit jantung).
Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau. Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruang tamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.
Si penulis (penulis asal cerita ini) yang kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu. Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah.
Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya) pun sampai. Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.
Penulis yang masih berada di situ merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.
Antara jawapannya ialah:
1. Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada).
2. Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke nama beliau dan anak-anaknya.
3. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).
Untuk makluman, arwah adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju dewasa ini. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah di pinggir Putra Jaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang/Dengkil.
Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Penulis juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya.
Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulong masih lagi bersekolah di tingkatan 4, manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.
Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah:
1. 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan, dan 20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.
2. Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putra Jaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya.
3. Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah.
4. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak, dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.
5. Wang tunainya di bank (persendirian) diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi. Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya.
6. Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau, dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam.
7. Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima; manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.
Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah proton saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan oleh isterinya).
Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.
"Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga."
"Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan. Tiada belas kasihan terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat."
"Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah. Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku. Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab bibik (pembantu rumah). Kain bajuku tidak pernah diuruskan, dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga."
"Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku (yang sebagai pengganti ibu)."
Selepas peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah penulis faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada di sisi jenazahnya.
Marilah kita renungi bersama. Semoga dengan apa yang terjadi di atas, akan memberikan satu pengajaran yang berguna kepada kita sebagai umat Islam.

Kisah Dan Tauladan

SEORANG ANAK MEMBANGKANG PERINTAH AYAHNYA

Ketika Rasulullah S.A.W memanggil kaum Muslimin yang mampu berperang untuk terjun ke gelanggang perang Badar, terjadi dialog menarik antara Saad bin Khaitsamah dengan ayahnya yakni Khaitsamah. Dalam masa-masa itu panggilan seperti itu tidak terlalu mengherankan. Kaum Muslimin sudah tidak merasa asing bila dipanggil untuk membela agama Allah dan jihad fisabilillah. Sebab itu Khaitsamah berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, aku akan keluar untuk berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan anak-anak."
"Wahai ayahku, demi Allah janganlah berbuat seperti itu, kerana keinginanku untuk memerangi mereka lebih besar daripada keinginanmu. Engkau telah berkepentingan untuk tinggal di rumah, maka izinkanlah aku keluar dan tinggallah engkau di sini, wahai ayahku."
Khaitsamah marah dan berkata kepada anaknya, "Kau membangkang dan tidak mentaati perintahku."
Saad menjawab, "Allah mewajibkan aku berjihad dan Rasulullah memanggilku untuk berangkat berperang. Sedangkan engkau meminta sesuatu yang lain padaku, sehingga bagaimana engkau rela melihat aku taat padamu tetapi aku menentang Allah dan Rasulullah."
Maka Khaitsamah berkata, "Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat."
Saad menjawab, " Demi Allah wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku akan mendahulukanmu."
Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahwa Saadlah yang harus turun ke medan perang. Dia pun turun ke medan Badar dan mati syahid.
Setelah itu Khaitsamah berangkat menuju medan pertempuran. Tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya. Hanya saja Rasulullah akhirnya mengizinkannya setelah Khaitsamah berkata sambil menangis, " Wahai Rasulullah, aku sekali terjun dalam perang Badar. Lantaran inginnya aku harus mengadakan undian dengan anakku. Tetapi itu dimenangkannya sehingga dia yang mendapat mati syahid. Kelmarin aku bermimpi di mana di dalamnya anakku itu berkata kepadaku, "Engkau harus menemani kami di syurga, dan aku telah menerima janji Allah. Wahai Rasulullah, demi Allah aku rindu untuk menemaninya di syurga. Usiaku telah lanjut dan aku ingin berjumpa dengan Tuhanku."
Setelah diizinkan Rasulullah, Khaitsamah bertempur hingga mati syahid dan berjumpa dengan anaknya di syurga.

Kisah Dan Tauladan

JENAZAH BERUBAH MENJADI BABI HUTAN

Seorang anak mendatangi Rasulullah sambil menangis. Peristiwa itu sangat mengharukan Rasulullah S.A.W yang sedang duduk bersama-sama sahabat yang lain.
"Mengapa engkau menangis wahai anakku?" tanya Rasulullah. "Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya?" Tanya anak itu.
Segeralah Rasulullah memerintahkan Abu Bakar dan Umar untuk menjenguk jenazah itu. Betapa terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua sahabat itu lalu segera kembali melapor kepada Rasulullah S.A.W.
Maka datanglah sendiri Rasulullah S.A.W ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia. Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa herannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan berubah kembali menjadi babi hutan.
Melihat kejadian itu, Rasulullah menanyakan anak itu apa yang dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya.
"Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya," jawab anak itu. Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya, "Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya bila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."

Kisah Dan Tauladan

KISAH NAFSU YANG DEGIL PADA PERINTAH ALLAH

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahwa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahwa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Kisah Dan Tauladan

KISAH PEMUDA BERIBU-BAPAKAN BABI

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh keheranan.
Bai itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Tuesday, September 8, 2009

GAMBAR KENANGAN

Percutian di Cameron Highlands.........


Babyku yang comel............

Isteriku Yang Tercinta.......


Anak-anak yang kusayangi......



Anak bongsu yang nakal





PAHLAWAN MELAYU(TOK JANGGUT)


Ini ada satu penemuan yang menarik. Saya dapat satu email dari member kata imej yang tuan/puan tengok dalam email yang saya fwd ni tidak pernah dipertontonkan kepada umum selama ini hinggalah ada pengkaji sejarah dari ukm ka entah mana, pi selak pi selak mai kat library university oxford kat England sana nu, dan jumpalah gambar ni.Kata orang putih laknatullah… (ni lah gambar “si penderhaka” yang dibunuh
oleh orang putih tahun 1919 dulu di Kota Baru kelantan, kerana berani melawan pemerintah…. nama dia Haji Hasan orang pangge “tokjanggut”…nilah akibatnya kalau menderhaka kepada pemerintah, taksabar-sabar nak memerdekakan tanah melayu ni dari pemerintahan orang putih…)Selepas baca ni, sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah kepada allahyarham
tok janggut yang telah berjuang atas kesedaran berjihad untuk mempertahankan agama dan tanah air dari belenggu Inggeris.Orang-orang seperti tok janggut inilah yang berani bagi amaran kat orangputih, “kalau hampa nak balik England tengok anak bini, hampa tok sah dok kacau adat resam dan agama kami…”?(sory la, dia speaking Kelate, bukanKedah). Sebab tu lah inggeris tak berani berdakwah pada orang melayu,walaupun depa jajah negara kita lebih seratus tahun lamanya.Alhamdulillah, dengan nikmat Allah, hari ni cucu cicit orang melayu zaman inggeris dulu masih kekal islam. Tanpa orang-orang seperti beliau, siapalah
kita pada hari ini. Ntah2 apalah agama kita hari ni. Nau’zubillah.
Al-Fatihah!

*ini adalah bahan yang diambil daripada internet........