Friday, September 11, 2009

ILMU MATEMATIK

TANDA-TANDA MURID YANG CINTAKAN MATEMATIK


Guru Matematik akan sentiasa ingat kepada muridnya dalam dua situasi yang berbeza. Pertama ialah bilamana muridnya terlalu pandai matematik dan kedua ialah muridnya terlalu lemah matematik. Kalau murid telah pandai, tugas guru menjadi lebih ringan dan kalau murid masih lemah, tugas guru menjadi sebaliknya.

Antara kualiti murid yang cintakan matematik adalah seperti berikut:

1. Ingat Sifir.

Bagi memperkatakan tentang ‘ingat sifir’ – saya cuba memperturunkan pengalaman-pengalaman saya yang lampau. Murid dikategorikan ‘Ingat sifir’ bila dia dapat menjawabnya dalam masa tiga saat. Contohnya: Guru soal 6 x 9 dan murid mampu jawab 54 dalam masa tiga saat. Jika sekiranya murid gagal menjawab dalam tempoh itu, bermakna dia masih belum ingat sifir.

Sifir ialah tambah berulang. Dari segi konsep, 1 x 6 bermaksud satu kumpulan yang ada enam ahli di dalamnya (Kumpulan darab ahli). Jelaskan kepada sejelas-jelasnya tentang konsep tersebut. Setelah mereka benar-benar faham barulah mereka hafal secara hafalan.

Tidak ada jalan mudah bagi murid untuk ingat sifir melainkan dengan cara hafalan. Tidak ada cara hafalan yang paling cepat ingat melainkan dengan meletakkan sifir di depan. Contohnya sifir 6 : Cara hafalan yang paling cepat ingat ialah 6 x 1, 6 x 2, 6 x 3, 6 x 4, 6 x 5 dan seterusnya.

Cara hafalan juga bolehlah dibuat berperingkat-peringkat. Kalau sifir 6, galakkan murid menghafal 6 x 1 hingga 6 x 5 dahulu dan ulang-ulang sehingga 10 atau 20 kali. Setelah ingat barulah pindah 6 x 6 dan 6 x 7. Ulang lagi hingga 10 atau 20 kali. Baca semula secara tutup mata dan kalau dah ingat bolehlah naik lagi 6 x 8 dan 6 x 9. Ulang lagi hingga 10 atau 20 kali sehingga murid mampu ingat keseluruhan sifir 6. Selepas itu cuba uji secara rambang : 6 x 7. Kalau murid berjaya menjawabnya dalam masa tiga saat maka dia boleh dikatakan ingat sifir.

Ingat atau tidak ingat sifir akan menentukan tahap pencapaian murid itu sendiri. Saya kategorikan murid-murid itu dalam empat keadaan berdasarkan sifir.

Bil Kategori Pencapaian
1.Ingat A
2.Tidak ingat sedikit lagi.(B)
3.Ingat sedikit-sedikit.(C)
4.Tidak ingat.(D / E)

Untuk mengetahui pencapaian pelajar, guru boleh tanya muridnya sama ada dia ingat atau tidak ingat. Jawapan yang diberikan mengikut kategori di atas selalunya sama dengan pencapaian dalam ujian yang dihadapinya.

Bagi mengekalkan daya ingatan murid, sekali sekala bolehlah guru meminta dia menyalin sifir dalam petak 100 atau sebagainya. Bagi murid yang lemah sifir, galakkan mereka menulis sifir pada kertas soalan sebelum mereka menjawab soalan-soalan Kertas 1 atau Kertas 2.

Sebagai tambahan; selalunya murid tidak ingat sifir akan terlahir dalam dua ‘ba’ iaitu “tak kaba” dan “Tok Leba”. (Hanya istilah yang diberikan oleh saya untuk hiburan). Murid akan ketawa bila dua cerita ini diluahkan kepada mereka. Mungkin mereka akan terpanggil untuk menjauhi dua ‘ba’ tersebut.

“Tak kaba” (Loghat daerah) terjadi bila murid itu tidak ingat sifir lantas terbeliak matanya atau matanya mendongak ke atas. Soalan cikgu tanpa berjawab. “Tok Leba” ialah singkatan dari perkataan Tok Lebai. Bila cikgu soal sifir, dia lantas menadah tangan seolah-olah berdoa dan mulutnya kumat-kamit sambil melihat atau menghitung jari jemarinya. Dia juga gagal menjawab soalan guru. Paling seronok lagi bila ada rakan di sebelah menyebut ‘amin’.

Murid yang berkualiti matematik ialah murid yang ingat sifir dan murid yang tidak ingat sifir bermakna dia masih belum berkualiti matematik. Ingat sifir bermakna ‘A’ dan tidak ingat bermakna ‘D / E’. Guru cuba ulang-ulangkan kepada murid tentang kategori ini. Mudah-mudahan mereka akan cuba hafal dan akhirnya mereka ingat sifir.


2. Ingat Formula.

Formula merupakan perkara kedua terpenting selepas sifir. Formula boleh diistilahkan sebagai tahu hala tuju, tahu jalan dan tahu buat. Tidak ingat formula menyebabkan murid akan hilang punca dan menuju kepada SALAH.

(Rujuk lembaran Formula di muka surat )


3. Rajin Buat Latihan.

Murid yang berkualiti matematik akan sentiasa rajin membuat latihan. Sebaliknya murid yang tidak berkualiti matematik akan ‘culas’ (menjauhkan diri) dari membuatnya.

Yang rajin akan sentiasa mencari jalan untuk membuat latihan-latihan. Dia akan berusaha mencari soalan sama ada dari buku teks atau buku-buku rujukan yang lain. Mungkin mereka akan memintanya daripada guru, rakan, sahabat pena dan sebagainya.

4. Suka Tanya Guru.

Suka tanya guru hanyalah mencakupi bidang matematik dan bukan menyimpang kepada perkara-perkara lain. Bila ada masalah, dia akan segera tanya guru. Sebaik sahaja ujian selesai, dia cepat-cepat tanya guru, berapakah markah yang didapati. Makin meningkat atau makin menurun. Dapat A atau belum dan sebagainya.

Murid yang tidak berkualiti matematik akan bertindak bersahaja. Mereka seakan-akan tidak kisah tentang itu semua. Markah naik atau turun, lulus atau tidak bukan menjadi faktor penting bagi mereka.


5. Berdisiplin.

Murid yang berkualiti matematik selalunya murid yang kuat disiplinnya. Mereka yang pandai matematik selalunya pandai pula dalam subjek-subjek yang lain. Disiplin merupakan faktor penyumbang kepada maju mundurnya prestasi seseorang murid itu.

Disiplin yang ditekankan di sini ialah disiplin semasa belajar, semasa membuat latihan, pengendalian buku latihan, membuat pembetulan, kehadiran sebelum masa belajar sama ada pagi, petang atau malam, membuat kerja rumah, kebersihan dan sebagainya.


6. Membuat Pembetulan.

Setiap kesalahan seboleh-bolehnya diberitahu terlebih dahulu kepada murid-murid. Jangan nanti murid tidak tahu kenapa dia salah. Setiap kesalahan hendaklah dibuat pembetulannya. Jika murid tidak tahu, mereka hendaklah bertanya kepada guru.

Membuat pembetulan ialah menyalin semula secara keseluruhan soalan, proses membuat jalan kira sehingga keluar jawapan baru yang betul. Jangan sekali-kali biarkan murid memadam jawapannya yang salah dan digantikan dengan jawapan yang betul. Jika perkara seperti ini dibiarkan, lambat laung akan benar-benar membahayakan guru.

Tanamkan semangat disiplin kepada murid-murid agar mereka membuat pembetulan sebagaimana yang dikehendaki guru.


7. Sering Berbincang Dengan Kawan.

Murid yang ada kecintaan kepada matematik akan mendorong diri sendiri demi mencapai kecemerlangan. Mereka akan berdampingan dengan rakan-rakan dan berbincang sesuatu mengenai matematik. Mereka saling bersoal sifir, bersembang tentang formula, bincang soalan dan sebagainya.

Apa yang paling baik hasil dari perbincangan tersebut ialah timbulnya rasa mahu membantu kawan yang lemah dan menimba ilmu daripada kawan yang lebih pandai. Kalau hal sedemikian digarap dan dipupuk, ia pasti akan melahirkan insan yang berjiwa murni.

Bagi pelajar yang agak pandai, mereka akan sentiasa mahu membantu rakannya yang lebih lemah daripadanya. Semua pelajar mampu berbuat demikian. Dia hanya akan menegur jika rakannya yang lemah tadi membuat sebarang kesilapan walaupun yang sekecil-kecilnya. Umpamanya, rakan yang kurang pandai itu terlupa meletakkan titik perpuluhan, lantas dengan sepontan dia akan menegurnya. Oleh yang demikian, akan berlakulah pemindahan ilmu daripada murid yang pandai kepada murid yang kurang pandai.

Bagi pelajar-pelajar yang kurang pandai tetapi di dalam dirinya ada kecintaan kepada matematik, dia pasti akan sentiasa mencari rakan yang dapat membantunya. Dia tidak akan jemu bertanya atau berbincang. Dia seharusnya sedar bahawa berbincang dengan rakan yang lebih pandai itu akan mendatangkan natijah yang paling berguna untuknya.


8. Semangat Berlumba-lumba.

Murid yang ada kecintaan kepada matematik akan merasa dirinya layak untuk menjadi pelajar yang paling pandai dalam mata pelajaran matematik. Dia akan berasa puas sekiranya markah yang diperolehi mengatasi pelajar-pelajar lain. Sebaliknya dia akan merasa hampa jika markah murid lain lebih daripada markah yang diperolehinya.

Semangat berlumba-lumba seperti ini dianggap perlumbaan yang sihat. Sepatutnya dalam setiap diri murid itu telah tertanam dengan semangat demikian. Persoalan yang patut ada dalam diri setiap murid ialah seperti berikut:

8.1 Kenapa dia lebih pandai dari saya?
8.2 Kenapa dia ingat dan saya tidak ingat?
8.3 Kenapa saya tersalah buat?
8.4 Kenapa saya masih dapat B sedangkan dia sudah dapat A?
8.5 Bagaimana harus saya lakukan sekarang?

Murid digalakkan agar mengambil satu pendekatan yang mungkin akan menguntungkan mereka. Galakkan dia berusaha gigih demi mencapai A dalam peperiksaan yang akan datang dan seterusnya peperiksaan yang sebenar. Kalau mereka ragu-ragu, guru bolehlah memberi perangsang kepada mereka. Buatlah apa juga pendekatan demi kecemerlangan murid-murid kita. Cemerlangnya murid akan menampakkan kecemerlangan guru. Lemahnya murid akan menggambarkan kelemahan guru. Guru adalah segalanya bagi murid-murid yang mengerti akan pengorbanan guru terhadapnya.

9. Suka Bila Guru Masuk Kelas.

Sedikit sebanyak, guru adalah faktor penting sama ada murid akan meminati matematik atau sebaliknya. Kalau guru bagus, murid tentu sekali akan menyukainya. Bila murid menyukai seseorang guru itu, sudah pasti mata pelajarannya juga akan disukai oleh pelajar berkenaan.

Hal sedemikian sering terpapar pada perlakuan seharian murid. Antaranya adalah seperti berikut:

9.1 Mereka akan menyuruh Ketua Kelas memanggil guru jika guru itu terlambat masuk kelas.
9.2 Mereka akan tersenyum bila nampak guru menuju ke kelasnya.
9.3 Masuknya guru itu ke kelasnya seolah-olah menambahkan lagi kegembiraan kepada mereka.
9.4 Mereka telah bersedia dengan pensel, pembaris, pemadam dan buku-buku untuk menerima pelajaran.
9.5 Mereka sayang untuk meninggalkan kelas semasa mata pelajaran matematik.
9.6 Meminta agar guru menambahkan soalan latihan atau meminta kerja-kerja rumah.
9.7 Meminta agar dilambatkan waktu rehat atau waktu pulang.
9.8 Suka mengangkat tangan atau memberi tindak balas positif untuk memberi jawapan atau pendapat sewaktu perbincangan dijalankan.
9.9 Merasai bahawa masa untuk mata pelajaran matematik terlalu cepat berlalu. Rasa belum puas, tetapi masa telah habis.
9.10 Benar-benar mengharapkan agar guru berkenaan masuk lagi pada hari esok dan seterusnya.


10. Menitiskan Air Mata.

Amat senang bagi guru untuk membuatkan murid-muridnya ketawa. Bukan senang bagi murid untuk menitiskan air mata sekadar untuk suka-suka. Melainkan ada sesuatu desakan dalaman yang tulus suci sehingga menitisnya air mata yang melambangkan keinsafan kudus yang berlaku secara tersembunyi.

Kalau murid itu menitiskan air mata bukan kerana dimarahi guru, kalau murid itu menangis bukan kerana takut dimarahi emak, dan kalau murid itu menangis bukan kerana takut terlepas beberapa hadiah sudah pasti tangisnya membawa makna yang murni.

Alangkah beruntungnya seorang guru yang memiliki murid-murid yang tangisnya seperti berikut:

10.1 Kerana salah satu atau dua soalan sahaja.
10.2 Kerana terlupa membuat apa-apa yang guru suruh.
10.3 Kerana menginsafi yang dia tidak patut salah soalan tersebut.
10.4 Menerima hakikat kegagalan dan bimbang kalau-kalau dia gagal lagi dalam ujian berikutnya.
10.5 Menyesali atas kelemahan diri sendiri.

Sebagai tambahan; saya pernah bertemu dengan seorang pelajar perempuan yang menangis teresak-esak sebaik sahaja kertas markah ujian dibahagikan semua kepada mereka. Tangisnya benar-benar menyentuh perasaan saya. Kain tudungnya basah akibat air mata yang meluncur laju. Saya pula berasa seolah-olah saya telah melakukan suatu kesalahan yang maha besar kepadanya.

Saya cuba dekati dan bertanya sesuatu kepadanya. Dia mendongak dan saya dapati cucuran air matanya semakin menjadi-jadi. Air mata saya juga mula tergenang. Dikesat lagi air matanya dengan kain tudung. Semakin kuat pula saya merasai kesalahan diri saya kepadanya.

Setelah didesak sekali lagi lantas dia menjelaskan bahawa cikgu tidak bersalah tetapi dia sendiri yang tersalah. Setelah dijelaskan kepada saya, barulah saya sedar bahawa dia menangis kerana tersalah buat, sehingga menyebabkan dia salah dua soalan. Sepatutnya dia tidak tersalah buat soalan-soalan tersebut dan sepatutnya dia berhak mendapat 100 markah.

Kalau hendak dikira, apalah sangat kesalahan pelajar tersebut. Pelajar itu masih mampu dapat A dalam ujian itu dan tidak seharusnya dia rasa terlalu bersedih hati sehinggakan terpaksa dibayar dengan mengeluarkan air mata yang banyak.

Buat masa ini, pelajar tersebut sedang menuntut di salah sebuah universiti di luar negeri. Semoga dia berjaya dalam kehidupannya, dunia dan akhirat.

hakcipta.....mat latif ali (guru pakar matematik sekolah rendah daerah besut)

No comments:

Post a Comment